Thursday 11 December 2014

Diet Atkins

Siapa kata lelaki tidak sanggup berdiet Atkins? Diet ini cukup dikenali di kalangan lelaki yang mahukan turun berat badan secara cepat dan berkesan. Tetapi, ramai yang tidak tahu bahawa diet ini mendatangkan pro dan kontra tanpa disedari.

Apa itu diet Atkins?

Diet ini pertama kali diperkenalkan oleh Dr. Robert C. Atkins pada awal tahun 70an. Pada awalnya, diet ini tidak begitu popular dan tidak mempunyai pengikut yang ramai kerana pada masa itu, lebih ramai yang memilih untuk berdiet rendah lemak. Teori diet Atkins mengatakan bahawa anda hanya perlu mengambil makanan yang mengandungi protein dan tidak boleh menyentuh makanan bersumber karbohidrat sama sekali. Pada dua minggu pertama, tubuh badan akan menghasilkan ketosis iaitu keadaan di mana  tubuh akan menggunakan lemak sebagai bahan bakar.

Kebanyakan yang mengamalkan diet Atkins berjaya kurus kerana dengan mengurangkan dan mengehadkan makanan berkarbohidrat seperti nasi, mi, kentang dan gula. Badan akan mula membakar lemak sebagai bahan api. Ini bererti berat badan anda akan mula menyusut. Untuk lebih difahami, menerusi diet Atkins ini karbohidrat disingkirkan terus dari pemakanan kita, bermakna kalori dapat dikurangkan dan membawa kepada penyusutan berat badan.
Diet rendah lemak tidak berkesan?

Sebelum ini, ramai yang mengamalkan diet rendah lemak tidak berjaya menurunkan berat badan walaupun mereka mengehadkan makanan berlemak, mereka masih mengambil makanan berkarbohidrat dan bergula, seperti meminum lebih banyak jus, memakan roti dan kentang berlebihan. Sekalipun berjaya menurunkan berat badan, namun selalunya akan kembali ke berat badan asal dalam masa 1-2 tahun kerana kebanyakan diet yang diperkenalkan menyebabkan mereka sentiasa terasa lapar dan tidak mampu mengikut teknik diet rendah lemak itu buat masa yang lama.

Keburukan di sebalik diet Atkins?

Sepanjang anda melakukan diet ini, tubuh badan akan berada di dalam keadaan ketosis iaitu keadaan di mana tubuh akan menggunakan lemak sebagai bahan bakar. Pengambilan banyak protein menyebabkan anda mengambil banyak kolesterol dalam seharian. Sebagai contoh, makanan laut seperti udang dan ikan mempunyai protein yang tinggi dan hampir kesemuanya mengandungi kolesterol yang menjadi punca kepada sakit jantung. Ketosis akan menyebabkan nafas berbau, menyebabkan osteoporosis dan merosakkan buah pinggang jika dilakukan dalam jangka masa panjang. Selain itu, ketosis juga membawa kepada penghasilan urik asid, iaitu penyebab kepada penyakit-penyakit seperti gout (sakit sendi), batu karang dan sembelit.

Diet Atkins memang boleh menurunkan berat badan dengan pantas tapi usah terkejut apabila hasil bentuk tubuh anda akan lebih kepada kurus lembik dan bukannya berotot kerana penurunan  pantas ini hanya melibatkan penurunan berat air dan otot! Apa pun terpulang pada anda sendiri untuk tampil kurus dan lebih sihat. Orang kata, hendak tampil 'elok', biarlah bijak dan berpada-pada. Tepuk dada tanyalah selera!

No comments:

Post a Comment